Mr. Sepet
Tuesday, November 19, 2019
Saturday, December 19, 2015
BBM3410 - KETIKA DAN KALIMAT
Assalamualaikum & salam sejahtera... ney merupakan luahan hati aku sepanjang 14 minggu mengambil kursus BBM3410 Bahasa Dalam Multimedia... luahan ney dihasilkan secara ringkas kerana kalau secara penuh, tujuh hari tujuh malam pon belum tentu habis nak cerita... anda baca la yaaaa...
Ketika & Kalimat...
Pada
14 September 2015, aku telah mengambil kursus BBM3410 iaitu Bahasa Dalam
Multimedia bersama dengan kawan-kawanku yang lain. Aku masuk ke kelas tersebut
pada minggu kedua kuliah dimulakan iaitu lewat seminggu dari tarikh permulaan
kuliah. Aku memasuki kelas tersebut dengan harapan ramai la budak kelas aku
daftar subjek ini tetapi rupanya aku satu kelas dengan senior. Yang peliknya,
seorang pun aku tak kenal padahal senior kos major aku sendiri. Pandangan
pertama aku terhadap senior adalah sangat membosankan. Aku tengok senior-senior
ni dalam kelas tu diam ja tak macam budak-budak kelas aku, lebih-lebih lagi
budak minor Seni Persembahan yang perangai entah apa-apa. Masuk ja ke kelas,
pensyarah dah ada di hadapan iaitu Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim
yang sebelum ni memang aku tak pernah kenal langsung. Aku tengok dari gaya Dr.
Normaliza ni mesti seorang yang kuat beleter dan membosankan. Bayangkan la baru
masuk minggu kedua dah ada tugasan. Dah la minggu pertama kumpulan aku tak
masuk lagi, jadi memang krik-krik la kejap bila Dr. sebut tentang tugasan. Aku
pun keluar la ke flat ikan untuk cari bahan-bahan nak buat tugasan tu. Dah la
tugasan tu kena hantar pada hari tu juga, tak ka stress, dalam hati ni tuhan ja
yang tahu. Kelam kabut kumpulan aku siapkan tugasan tu. Lepas siap terus hantar
kat bilik Dr. Normaliza, boleh pulak tugasan tu kena reject. Hmmmm… memang berbulu
la masa tu. Dalam hati “ney baru minggu kedua kot”.
Apabila masuk minggu ketiga, Dr bagi
tugasan baru pulak. Aku dah mula rasa macam sem ni memang tak ada peluang nak
relaks-relaks la. Dapat pulak tugasan ambik-ambik gambar. Tapi bagus juga la
sebab dapat belajar pelbagai jenis shot yang menarik. Walaupun fotografer peringkat
amatur tetapi boleh la memenuhi semua jenis shot yang diberikan oleh Dr.
Normaliza. Lepas tu kena pulak buat shot flat lay kasut dan quarter flat lay
makanan. Ishhhhh.. mana la aku penah buat kerja-kerja yang macam tu, gambar
makanan pun jarang ambik ni nak berflat lay-flat lay bagai. Namun, bak kata Dr.
Normaliza “apa-apa pun redha”. Selepas
perbentangan tugasan flat lay tu, dapat pulak tugasan baru, tetapi tugasan kali
ney pelik sikit sebab nak kena shooting video lepas tu upload kat youtube. Dah
la aku tak pernah sekali seumur hidup buat benda-benda macam ni. Mula-mula tu
terpaksa la tapi lepas dah selalu terdedah dengan hal-hal macam ni rasa
seolah-olah ada satu perasaan pelik meresap dalam jiwa ini, macam dah jatuh
cinta la pulak. Mula pada saat tu semangat nak shooting semakin meluap-luap.
Dalam kelas Bahasa Dalam Multimedia
ni, aku belajar banyak benda tentang elemen-elemen dalam multimedia. Banyak
perkara yang aku tahu, tak tahu dan tak pernah aku ambik tahu dalam hidup ni
berkaitan dengan apa yang aku belajar dalam kelas ni. Tugasan-tugasan yang
diberikan dapat memupuk semangat kerjasama, persahabatan dan mengajar cara
untuk berhubung dengan orang yang lebih tua (senior). Aku nak kongsikan
pengalaman tugasan yang terakhir iaitu montaj. Tak ku sangka, tak ku duga
semasa aku selesai buat montaj bergambar, aku cuba mainkan semula montaj
tersebut. Tiba-tiba, satu perasaan yang pelik timbul. Montaj aku berkaitan
dengan kenangan bersama sahabat, jadi apabila aku lihat semula montaj tersebut
satu perasaan sedih mula menyelubungi diri. Aku merasakan bahawa semakin hampir
untuk berpisah denga sahabat-sahabat yang aku sayangi sedangkan kami masih ada
setahun masa untuk bersama. Satu perasaan sebak muncul semasa video montaj
tersebut dimainkan. Betul la kata orang, sekiranya kita ikhlas terhadap sesuatu
perkara tu, kita akan rasa sedih apabila kehilangannya. Terima kasih SAHABAT.
Akhir kata, terima kasih yang tidak
terhingga kepada pensyarah BBM3410 iaitu Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd.
Rahim kerana telah mengajar kami erti kehidupan melalui tugasan-tugasan yang
diberikan. Tugasan-tugasan ini bukan sahaja dapat menambahkan ilmu tetapi dapat
mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kami. Hidup kita di dunia ini
saling lengkap-melengkapi, jadi sama-sama lah kita menjaga hubungan antara kita
agar tidak berlaku sebarang persengketaan yang dapat merobohkan binaan
persahabatan selama 14 minggu dalam kuliah bagi kursus BBM3410 Bahasa Dalam
multimedia.
Ikhlas daripada Mr. Sepet...
BBM3410 - ULASAN BUKU "WACANA"
Assalamualaikum & salam sejahtera... Aku dah baca sebuah buku yang bertajuk Wacana Bahasa... Buku ney ditulis oleh pensyarah aku sendiri iaitu Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim... Dalam buku ney membincangkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan wacana... Aku telah membuat ulasan secara ringkas terhadap buku Wacana Bahasa ney... Aku harap ulasan yang aku buat ney dapat membantu para pembaca yang ingin mengetahui apa itu 'wacana'...
Tajuk: Wacana Bahasa
Penulis: Normaliza Binti Abd. Rahim
Penerbit: Universiti Malaysia Terengganu (UMT)Tahun Terbit: 2014
Wacana
Bahasa yang dikarang oleh Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim dan diterbitkan
pada tahun 2014 oleh Penerbit UMT, Universiti Malaysia Terengganu, 21030 Kuala
Terengganu, Terengganu Malaysia. Buku ini merangkumi 9 bab utama iaitu Teater
Kanak-kanak, Penggunaan Media Teknologi, Penulisan Papan Cerita, Pantun Melayu,
Sajak Melayu, Kata Kerja dalam Cerita Binatang, Antonim Bahasa Melayu,
Penerapan Nilai Sosial Melalui Lakonan Cerita dan Nilai Murni dalam Peribahasa
Melayu. Buku Wacana Bahasa ini merupakan penerangan yang merincikan permulaan bagi
wacana bahasa. Kesemua bab yang terdapat dalam buku ini sesuai dibaca oleh para
pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga ke pelajar universiti atau pusat
pengajian tinggi.
Dalam bab 1 menceritakan tentang
teater kanak-kanak. Menurut Prof. Madya Dr. Normaliza, teater kanak-kanak
merupakan satu media yang melibatkan watak dari jalan cerita yang menarik
perhatian penonton. Teater juga merupakan satu aktiviti yang sesuai digunakan
untuk pembelajaran pelajar sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Menurutnya
lagi, teater kanak-kanak merupakan satu medium yang membina keyakinan diri. Teater
yang menarik biasanya memiliki watak baik dan watak jahat. Walaupun kebanyakan
penonton akan lebih menyukai watak baik tetapi ada juga dalam kalangan mereka
yang berpendapat bahawa watak baik itu sebenarnya merupakan penyebab kepada sesebuah
teater itu menjadi lebih menarik.
Penulis juga telah menjalankan satu
kajian terhadap sekumpulan pelajar yang diberikan tugasan supaya menganjurkan
satu persembahan teater fantasi selama 45 minit yang dipersembahkan kepada 80
orang anak yatim. Anak-anak yatim ini dikatakan sering berdiam diri dan sering
berasa siri mereka memiliki kekurangan. Namun begitu, persembahan teater telah Berjaya
mengubah sedikit sebanyak sikap anak-anak yatim tersebut. Anak-anak yatim ini
dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil dan perlu berbincang mengenai teater
yang dipersembahkan. Ternyata mereka dapat berkomunikasi dengan baik dan mereka
turut mengemukan pendapat masing-masing. Mereka bukan sahaja boleh menerima
kritikan, malah mereka juga memberi kritikan terhadap persembahan teater yang
dimainkan. Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa teater kanak-kanak
merupakan salah satu cara untuk menimbulkan komunikasi antara satu sama lain
terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam bab 2, penggunaan media
teknologi yang dimaksudkan oleh Dr. Normaliza ialah perkongsian klip-klip video
di laman social pada masa ini. Perkara ini berlaku kerana terdapat tindak balas
daripada masyarakat terhadap apa-apa sahaja yang telah dimuat naik sehingga
meninggalkan kesan positif serta tanpa disedari, sesiapa yang melihat klip-klip
video itu akan meninggalkan komen dan jumlah ‘like’ semakin bertambah. Hal ini
menunjukkan bahawa setiap apa-apa sahaja tindak balas yang diberikan oleh
sesiapa yang menonton video tersebut merupakan satu komunikasi yang baik. Dalam
kajian penulis mengenai aktiviti membuat klip video yang dilakukan oleh pelajar
yang telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang kecil untuk membuat satu
klip video iaitu one shot video. Penulis mendapati kajian yang dilaksanakan
menunjukkan bahawa pelajar dapat bekerjasama dalam membuat perancangan untuk
memilih tema, lokasi penggambaran, pembahagian watak dan lain-lain. Ternyata
pelajar lebih yakin untuk memberikan idea dan mereka juga dapat belajar
menerima pendapat orang lain serta menerima idea yang kreatif dalam
menghasilkan klip video yang menari.
Seterusnya
bab 3 iaitu bab yang membincangkan penulisan papan cerita yang digunakan oleh
penulis. Dalam bab ini, penulis membincangkan mengenai papan cerita pantun yang
merupakan satu genre kesusasteraan Melayu Lama. Kajian yang dilaksanakan
melibatkan para pelajar yang telah dibahagikan kepada beberpa kumpulan dan
mereka juga dikehendaki menyediakan papan cerita dalam bentuk pantun serta
menyebarkan pantun tersebut dalam bentuk media. Dalam situasi ini, pelajar
telah memikirkan tema papan cerita terlebih dahulu dan kemudiannya mereka
mencipta isi-isi pantun untuk papan cerita. Penulis mendapati bahawa pelajar
lebih mahir dalam memulakan sesuatu perancangan serta bijak memilih untuk
menyatakan papan cerita mereka di web atau blog. Keadaan ini menunjukkan bahawa
pelajar bukan sahaja berkomunikasi antara satu sama lain, malah mereka turut
mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang multimedia dan sewajarnya pantun yang
merupakan karya tradisi Melayu mendapat tempat dalam masyarakat.
Pantun
Melayu dalam buku Wacana Bahasa pula menerangkan tentang pentingnya mengekalkan
tradisi Melayu dan menikmati keindahan setiap rangkap dalam sesebuah pantun. Pantun
yang terdiri daripada beberapa jenis seperti pantun nasihat, pantun
kanak-kanak, pantun kasih saying dan lain-lain. pantun bukan sahaja perlu
digunakan oleh generasi yang berketurunan Melayu semata-mata, malah ia juga
perlu diperkenalkan kepada masyarakat di luar negara supaya mereka dapat
menikmati keunikan pantun Tradisi Melayu. Kajian yang dilakukan ke atas pelajar
Korea dalam membina pantun Melayu sangat membantu untuk berkomunikasi dengan
menggunakan bahasa yang indah.pantun juga dikatakan terdiri daripada beberapa
jenis dan pantun dua dan empat kerat yang selalu digunakan oleh masyarakat. Pantun
dua kerat biasanya mempunyai satu pembayang dan satu maksud, manakala pantun
empat kerat mempunyai dua pembayang dan dua maksud. Perkataan yang digunakan
dalam pantun biasanya kata-kata yang indah, ringkas dan mudah difahami.
Bab lain
dalam Wacana Bahasa ialah Sajak Melayu. Sajak Melayu merupakan salah satu
komponen sastera yang ditulis bagi meluahkan perasaan terhadap alam, keindahan,
percintaan serta nilai estetika yang lain. Melalui sajak, pelajar bukan sahaja
dapat belajar untuk memahami maksud tersirat dan tersurat, malah pelajar juga
dapat mengetahui cara-cara untuk mencipta sajak. Misalnya, dalam kajian yang
dilakukan terhadap pelajar Korea oleh Dr. Normaliza membuktikan bahawa pelajar
dapat bekerjasama dalam memahami maksud sajak yang ditulis oleh A. Samad Said. Sehubungan
dengan itu, puisi moden ini dapat diketengahkan dalam jiwa masyarakat dalam
mahupun luar negara. Oleh itu, karya puisi sajak seperti ini dapat diangkat
tinggi dan lebih dihargai oleh masyarakat.
Kata
kerja dalam cerita binatang pula sebenarnya difokuskan kepada golongan pelajar
sindrom Asperger. Golongan ini merupakan golongan yang istimewa kerana
dikatakan lain dari manusia biasa yang normal dan mereka ini lebih menyukai
cerita-cerita sosial walaupun cerita tersebut diceritakan secara berulang kali.
Berdasarkan kajian yang dijalankan jelas membuktikan bahawa pelajar yang
mempunyai sindrom Asperger ini dapat berbincang dalam kumpulan dan mampu
berkomunikasi antara satu sama lain. Golongan ini ternyata lebih berminat bercerita
setelah mereka diminta untuk menceritakan semula cerita yang telah
diperdengarkan kepada mereka. Mereka juga berjaya menceritakan semula cerita
yang telah disampaikan walaupun tidak sesempurna cerita asal. Dengan ini,
masalah golongan ini yang suka berdiam diri dapat diatasi secara tidak
langsung.
Antonim
bahasa Melayu yang ditulis dalam buku Wacana Bahasa sebenarnya membincangkan
bahasa Melayu yang sememangnya merupakan bahasa yang penting di persada dunia
memandangkan bahasa ini adalah bahasa rasmi di beberapa buah negara seperti
Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Oleh itu, kajian yang
dilakukan terhadap pelajar Korea yang menggunakan kata antonim dalam membina
struktur ayat sememangnya membantu mereka dalam mengenal pasti sifat bagi
sesuatu objek. Kesannya, mereka Berjaya menyoal dan menjawab berdasarkan
perbezaan kata antonim bagi objek yang ditanyakan. Tuntasnya, pelajar asing
sebenarnya memerlukan kata-kata baharu dalam mempelajari bahasa Melayu. Oleh itu,
kata antonim adalah perkataan-perkataan baharu yang sesuai dan dapat dipelajari
bagi mendekatkan lagi mereka dengan bahasa Melayu.
Menerusi
bab yang berikutnya dalam buku Wacana Bahasa iaitu penerapan nilai sosial
melalui lakonan cerita merupakan jalan penyelesaian bagi ibu bapa yang
mempunyai anak-anak yang menghidapi sindrom Asperger. Golongan ini dikatakan
mempunyai masalah dalam bergaul dengan pelajar normal yang lain. Oleh hal yang
demikian, salah satu cara yang terbaik dalam memastikan mereka berkomunikasi
ialah dengan menerapkan nilai-nilai sosial melalui lakonan cerita. Mereka bukan
sahaja, dapat memberikan perhatian sepenuhnya dalam lakonan cerita yang
disampakan, malah mereka turut dapat mempelajari nilai-nilai murni yang
diterapkan dalam jalan cerita tersebut. Oleh itu, mereka akan lebih
berkeyakinan dan secaara tidak langsung mereka akan mula berkomunikasi dalam
menyatakan pendapat dan pandangan berdasarkan segala perkara yang mereka
fahami.
Dalam bab
akhir buku Wacana Bahasa iaitu nilai murni dalam peribahasa Melayu dapat
menepis sama sekali bahawa peribahasa ini sesuai dengan golongan tua sahaja. Peribahasa
merupakan wadah warisan Melayu sejak berzaman yang mempunyai nilai-nilai murni
dalam maksud peribahasa itu sendiri. Berdasarkan kajian yang dijalankan dalam
kalangan pelajar Korea, pengkaji iaitu penulis buku ini cuba mengaitkan
peribahasa tersebut dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam kehidupan
seharian mereka dan mereka mendapati banyak persamaan dengan nilai-nilai murni
yang terdapat dalam peribahasa Melayu. Oleh itu,jelaslah bahawa peribahasa ini
sebenarnya merupakan medium penyampai nilai-nilai murni dan merupakan satu
kalimah yang indah dalam budaya dan keunikan bahasa Melayu itu sendiri.
Kesimpulannya,
buku ini mempunyai banyak maklumat yang mampu membantu pembaca mengetahui lebih
terperinci tentang wacana bahasa. Sedikit sebanyak buku ini dapat memberikan
banyak manfaat kepada pembaca terutamanya para pengkaji yang hendak mengkaji
tentang wacana. Mereka boleh menjadikan buku ini sebagai salah satu bahan
rujukan ilmiah bagi menyempurnakan kajian tersebut. Selain itu, buku ini juga
dapat menunjukkan beberapa elemen-elemen penting yang terdapat dalam bahasa
Melayu bagi memperkasakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Write by Mr. Sepet...
BBM3410 - ULASAN BUKU "LEARNING THROUGH BLOG WRITTING (EMBRACING THE TECHNOLOGY)"
Assalamualaikum & salam
sejahtera... Aku dah selesai buat satu ulasan buku yang bertajuk "Learning
Through Blog Writting"... Aku ambil masa lama jugak la nak siapkan ulasan
ney... Memandangkan buku ney diterbitkan dalam bahasa Inggeris, jadi sedikit
masalah timbul kerana ia perlu ditukarkan kepada bahasa Melayu... Semoga anda
dapat memahami ulasan yang aku tulis ney...
Tajuk: Learning Through Blog Writting (Embracing
the Technology)
Penulis: Normaliza Abd. Rahim
Penerbit: Universiti Malaysia Terenggani (UMT)
‘Learning through blog writing embracing the
technology’ merupakan
karya Normaliza Abd Rahim, seorang pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Buku ini memberi maklumat mengenai penulisan
blog serta perkara yang mampu dicapai melalui penulisan blog kepada pembaca.
Dalam buku ini, penulis menyatakan kedua-dua kebaikan dan keburukan yang mampu
dibawa oleh penulisan blog, namun penulis mengupas lebih mengenai kebaikan
penggunaan blog kepada pengguna. Penulis juga memberikan penekanan bahawa
penggunaan blog mampu menjadi sebagai medium pembelajaran yang berkesan.
Penulis
membahagikan kandungan buku ini kepada 8 bahagian bermula dari pengenalan
terhadap blog dan penulisannya diikuti dengan perkara-perkara lain yang
berkaitan dengan blog. Dalam bahagian pertama, penulis memberikan huraian
ringkas mengenai blog menurut pandangan beliau. Beliau menyatakan bahawa
penulisan blog merupakan medium internet yang tidak terbatas dan percuma. Hal
ini menyebabkan penggunaan blog mampu mendatangkan kedua-dua kesan negatif dan
positif. Bagi membendung kesan negatif dalam penulisan blog ini pula, individu
yang ingin melibatkan diri dalam penulisan blog perlu mematuhi etika-etika umum
dalam penulisan blog. Seterusnya beliau sertakan juga pendapat pengkaji
mengenai blog. Salah satu penyataan yang disertakan adalah penyataan oleh
Nowson (2006) yang menyatakan bahawa blog sebagai satu laman sesawang yang
sering dikemas kini menggunakan susunan penceritaan yang tidak megikut
kronologi, menggunakan bahasa yang tidak formal serta menggunakan bahasa yang
mudah dan tidak terlalu terikat. Turut disertakan adalah penyataan Shahsavar &
Tan (2011) yang menyatakan bahawa penggunaan blog dalam kalangan pelajar
mewujudkan kerjasama dan membolehkan pelajar bekerja secara interaktif. Blog
turut dijelaskan sebagai satu ruangan internet yang membolehkan individu
menulis perkara yang diinginkan termasuklah penulisan peribadi yang melibatkan
kehidupan peribadi individu, pendidikan mahupun perniagaan. Penulis turut
menyentuh mengenai panduan penulisan blog dan pembahagian jenis-jenis blog
berdasarkan tujuan penulisannya. Panduan penulisan blog yang diberikan penulis
merupakan panduan menurut Rieck (2014) manakala pembahagian jenis-jenis blog
pula adalah menurut Darren (2014) dan Rotolo (2012).
Bahagian kandungan buku yang berikutnya, penulis
berkongsi mengenai kajian-kajian yang pernah dijalankan yang berkait dengan
blog dan penulisan blog. Antara kajian yang disertakan oleh penulis dalam buku
ini adalah kajian oleh Richardson (2009) yang menyatakan bahawa pembelajaran
bahasa baru oleh individu menjadi lebih menarik dengan penggunaan teknologi,
oleh itu penggunaan teknologi wajar dipertimbangkan sebagai satu medium
pembelajaran. Seterusnya, penulis juga menyentuh kajian oleh Zaini Amir et.al. (2012)
yang telah menjalankan kajian untuk melihat perbezaan yang wujud dalam kalangan
penulisan blog bahasa Melayu oleh remaja lelaki dan remaja perempuan. Kajian
yang pernah dijalankan ini bukan sahaja untuk melihat fungsi dan kesan
penggunaan blog, namun secara spesifiknya, kajian lepas yang diketengahkan oleh
penulis adalah kajian lepas yang mampu menyokong pendapat beliau mengenai
pembelajaran melalui penulisan blog merupakan teknik pembelajaran yang
berkesan. Terdapat beberapa kajian lain yang disertakan oleh penulis dalam buku
‘Learning through
blog writing embracing the technology’.
Seterusnya, kajian-kajian lepas yang dijelaskan
oleh penulis membawa kepada isu yang dibincangkan dalam bahagian buku yang
berikutnya. Penulis membincangkan mengenai kajian yang telah dijalankan oleh
penulis sendiri. Bahagian-bahagian berikutnya membincangkan mengenai dua kajian
yang dijalankan oleh pengkaji serta kupasan lanjut mengenai hasil kajian yang
diperoleh oleh penulis. Kedua-dua kajian yang penulis jalankan mengambil tempat
di Hankuk University of Foreign Studies, Korea. Kajian pertama dijalankan
terhadap 60 orang responden terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan yang
pernah mengambil kelas bahasa Melayu. Kajian pertama adalah bagi melihat
perkara yang mampu dicapai oleh pelajar yang telah menulis blog. Kajian yang
kedua pula dijalankan terhadap sepuluh orang pelajar selama sepuluh minggu.
Dalam tempoh sepuluh minggu tersebut, setiap pelajar diminta untuk mengemas
kini blog masing-masing sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Hasilnya,
sebanyak 330 penulisan blog dikumpul dan dijadikan data kajian. Kajian kedua
kemudiannya dibincangkan dengan lebih mendalam dalam bahagian bab yang sama.
Hasil daripada kedua-dua kajian dibincangkan dalam bahagian kandungan yang
berbeza dan dikupas dengan lebih terperinci. Hasil kajian oleh penulis yang
beliau sertakan menyokong dan mengukuhkan pendapat beliau mengenai
penggunaan blog mampu menjadi medium pembelajaran yang berkesan jika digunakan
semaksima mungkin.
Panduan ringkas mengenai permulaan penulisan blog
dibincangkan oleh penulis dengan menyertakan ilustrasi laman yang akan dibuka
setelah mengikut langkah-langkah yang diberikan. Panduan ini dibahagikan kepada
tiga bahagian iaitu panduan membuka akaun google, membuka akaun blog
menggunakan blogspot dan membuka akaun menggunakan wordpress. Dengan adanya
ilustrasi dalam bahagian panduan ini, pembaca mampu memahami setiap langkah
yang diberikan dengan lebih mudah. Penggunaan ilustrasi turut membolehkan
pembaca mengaplikasikan panduan yang diberikan dengan lebih mudah. Setelah
memberikan pendedahan mengenai pembukaan blog dan penulisan blog, penulis turut
menyatakan etika-etika umum yang perlu dipatuhi dalam penulisan blog. Hal ini
bagi mengelakkan penggunaan blog membawa kepada kesan yang negatif seperti yang
diterangkan sendiri oleh penulis di bahagian pertama buku. Penggunaan blog jika
digunakan semaksima mungkin mampu mendatangkan kesan yang baik, namun dengan
syarat etika penulisan blog dipatuhi.
Dari segi struktur penulisan buku, buku ini
mempunyai struktur yang lengkap. Terdapat halaman hak cipta, senarai kandungan,
glosari atau daftar kata dan halaman bibliografi. Penulisan buku ini juga
menggunakan kata yang mudah untuk difahami, menggunakan perkataan yang lazimnya
digunakan dalam bidang pendidikan. Ilustrasi di kulit depan buku selaras dengan
tajuk buku dan mampu memberi pemahaman yang tepat terhadap isi yang
diketengahkan di dalam kandungan buku.
Namun begitu, kelemahan buku ini kerana terlalu
padat dengan sitasi daripada pengkaji-pengkaji lain. Penulis menggunakan
penulisan sitasi bagi menyokong dan menghuraikan fakta yang ingin diketengahkan
beliau. Penggunaan sitasi ini mendatangkan gangguan terhadap pembaca kerana
kekeliruan yang ditimbulkan oleh nama pengkaji yang terlalu bannyak. Sebaiknya,
penulis cuba menghuraikan pendapat yang ingin disentuh menggunakan ayat beliau sendiri.
Sitasi boleh digunakan untuk menyokong fakta yang beliau kemukakan tapi
menggunakan sitasi dalam menghuraikan pendapat menjadikan pendapat beliau
sendiri tenggelam dalam sitasi yang banyak. Selain itu, penulis juga dilihat
menggunakan sekecil-kecil perkaitan dalam mengaitkan kajian beliau dengan
kajian-kajian lepas. Melalui buku ini, penulis juga dapat dilihat mengambil
satu langkah yang berani dengan menyertakan pelbagai maklumat kajian bahkan
kajian beliau sendiri dalam sebuah buku yang secara fizikalnya tidak memberikan
gambaran kepada pembaca bahawa buku ini merupakan sebuah buku ilmiah. Setiap
perkara yang dilakukan penulis ini sekaligus memberikan peluang kepada
buku-buku ilmiah untuk dibaca oleh masyarakat dan membolehkan hasil kajian
mengenai blog dan penulisan blog sampai kepada masyarakat.
Secara keseluruhannya, buku ini mempunyai banyak
maklumat yang mampu membantu pembaca mengetahui lebih terperinci kesan-kesan
penggunaan blog. Walaupun pandangan awal yang diberikan melalui tajuk dan kulit
buku ini bukanlah mengenai buku ilmiah namun maklumat yang diperoleh melalui
buku ini merupakan maklumat yang berguna lebih-lebih lagi kepada pengkaji yang
ingin menjalankan kajian mengenai blog dan kesan penggunaannya. Pembacaan
terhadap buku ini juga bukan sahaja memberi maklumat lengkap mengenai
kesan-kesan penulisan blog malah membolehkan individu yang ingin memulakan
penulisan blog belajar mengenai etika yang perlu dipatuhi dalam penulisan blog.
Etika umum yang sering dipandang remeh oleh penulis-penulis blog. Kajian-kajian
lepas yang disertakan oleh penulis dalam buku ini mampu menjadi rujukan kepada
pengkaji lain.
Write by Mr. Sepet...
Subscribe to:
Posts (Atom)