Saturday, December 19, 2015

BBM3410 - ULASAN BUKU "LEARNING THROUGH BLOG WRITTING (EMBRACING THE TECHNOLOGY)"


Assalamualaikum & salam sejahtera... Aku dah selesai buat satu ulasan buku yang bertajuk "Learning Through Blog Writting"... Aku ambil masa lama jugak la nak siapkan ulasan ney... Memandangkan buku ney diterbitkan dalam bahasa Inggeris, jadi sedikit masalah timbul kerana ia perlu ditukarkan kepada bahasa Melayu... Semoga anda dapat memahami ulasan yang aku tulis ney...

Tajuk: Learning Through Blog Writting (Embracing the Technology)
Penulis: Normaliza Abd. Rahim
Penerbit: Universiti Malaysia Terenggani (UMT)






‘Learning through blog writing embracing the technology’ merupakan karya Normaliza Abd Rahim, seorang pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Buku ini memberi maklumat mengenai penulisan blog serta perkara yang mampu dicapai melalui penulisan blog kepada pembaca. Dalam buku ini, penulis menyatakan kedua-dua kebaikan dan keburukan yang mampu dibawa oleh penulisan blog, namun penulis mengupas lebih mengenai kebaikan penggunaan blog kepada pengguna. Penulis juga memberikan penekanan bahawa penggunaan blog mampu menjadi sebagai medium pembelajaran yang berkesan.
         Penulis membahagikan kandungan buku ini kepada 8 bahagian bermula dari pengenalan terhadap blog dan penulisannya diikuti dengan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan blog. Dalam bahagian pertama, penulis memberikan huraian ringkas mengenai blog menurut pandangan beliau. Beliau menyatakan bahawa penulisan blog merupakan medium internet yang tidak terbatas dan percuma. Hal ini menyebabkan penggunaan blog mampu mendatangkan kedua-dua kesan negatif dan positif. Bagi membendung kesan negatif dalam penulisan blog ini pula, individu yang ingin melibatkan diri dalam penulisan blog perlu mematuhi etika-etika umum dalam penulisan blog. Seterusnya beliau sertakan juga pendapat pengkaji mengenai blog. Salah satu penyataan yang disertakan adalah penyataan oleh Nowson (2006) yang menyatakan bahawa blog sebagai satu laman sesawang yang sering dikemas kini menggunakan susunan penceritaan yang tidak megikut kronologi, menggunakan bahasa yang tidak formal serta menggunakan bahasa yang mudah dan tidak terlalu terikat. Turut disertakan adalah penyataan Shahsavar & Tan (2011) yang menyatakan bahawa penggunaan blog dalam kalangan pelajar mewujudkan kerjasama dan membolehkan pelajar bekerja secara interaktif. Blog turut dijelaskan sebagai satu ruangan internet yang membolehkan individu menulis perkara yang diinginkan termasuklah penulisan peribadi yang melibatkan kehidupan peribadi individu, pendidikan mahupun perniagaan. Penulis turut menyentuh mengenai panduan penulisan blog dan pembahagian jenis-jenis blog berdasarkan tujuan penulisannya. Panduan penulisan blog yang diberikan penulis merupakan panduan menurut Rieck (2014) manakala pembahagian jenis-jenis blog pula adalah menurut Darren (2014) dan Rotolo (2012).
Bahagian kandungan buku yang berikutnya, penulis berkongsi mengenai kajian-kajian yang pernah dijalankan yang berkait dengan blog dan penulisan blog. Antara kajian yang disertakan oleh penulis dalam buku ini adalah kajian oleh Richardson (2009) yang menyatakan bahawa pembelajaran bahasa baru oleh individu menjadi lebih menarik dengan penggunaan teknologi, oleh itu penggunaan teknologi wajar dipertimbangkan sebagai satu medium pembelajaran. Seterusnya, penulis juga menyentuh kajian oleh Zaini Amir et.al. (2012)  yang telah menjalankan kajian untuk melihat perbezaan yang wujud dalam kalangan penulisan blog bahasa Melayu oleh remaja lelaki dan remaja perempuan. Kajian yang pernah dijalankan ini bukan sahaja untuk melihat fungsi dan kesan penggunaan blog, namun secara spesifiknya, kajian lepas yang diketengahkan oleh penulis adalah kajian lepas yang mampu menyokong pendapat beliau mengenai pembelajaran melalui penulisan blog merupakan teknik pembelajaran yang berkesan. Terdapat beberapa kajian lain yang disertakan oleh penulis dalam buku ‘Learning through blog writing embracing the technology’.
Seterusnya, kajian-kajian lepas yang dijelaskan oleh penulis membawa kepada isu yang dibincangkan dalam bahagian buku yang berikutnya. Penulis membincangkan mengenai kajian yang telah dijalankan oleh penulis sendiri. Bahagian-bahagian berikutnya membincangkan mengenai dua kajian yang dijalankan oleh pengkaji serta kupasan lanjut mengenai hasil kajian yang diperoleh oleh penulis. Kedua-dua kajian yang penulis jalankan mengambil tempat di Hankuk University of Foreign Studies, Korea. Kajian pertama dijalankan terhadap 60 orang responden terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan yang pernah mengambil kelas bahasa Melayu. Kajian pertama adalah bagi melihat perkara yang mampu dicapai oleh pelajar yang telah menulis blog. Kajian yang kedua pula dijalankan terhadap sepuluh orang pelajar selama sepuluh minggu. Dalam tempoh sepuluh minggu tersebut, setiap pelajar diminta untuk mengemas kini blog masing-masing sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Hasilnya, sebanyak 330 penulisan blog dikumpul dan dijadikan data kajian. Kajian kedua kemudiannya dibincangkan dengan lebih mendalam dalam bahagian bab yang sama. Hasil daripada kedua-dua kajian dibincangkan dalam bahagian kandungan yang berbeza dan dikupas dengan lebih terperinci. Hasil kajian oleh penulis yang beliau sertakan menyokong dan  mengukuhkan pendapat beliau mengenai penggunaan blog mampu menjadi medium pembelajaran yang berkesan jika digunakan semaksima mungkin.
Panduan ringkas mengenai permulaan penulisan blog dibincangkan oleh penulis dengan menyertakan ilustrasi laman yang akan dibuka setelah mengikut langkah-langkah yang diberikan. Panduan ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu panduan membuka akaun google, membuka akaun blog menggunakan blogspot dan membuka akaun menggunakan wordpress. Dengan adanya ilustrasi dalam bahagian panduan ini, pembaca mampu memahami setiap langkah yang diberikan dengan lebih mudah. Penggunaan ilustrasi turut membolehkan pembaca mengaplikasikan panduan yang diberikan dengan lebih mudah. Setelah memberikan pendedahan mengenai pembukaan blog dan penulisan blog, penulis turut menyatakan etika-etika umum yang perlu dipatuhi dalam penulisan blog. Hal ini bagi mengelakkan penggunaan blog membawa kepada kesan yang negatif seperti yang diterangkan sendiri oleh penulis di bahagian pertama buku. Penggunaan blog jika digunakan semaksima mungkin mampu mendatangkan kesan yang baik, namun dengan syarat etika penulisan blog dipatuhi.
Dari segi struktur  penulisan buku, buku ini mempunyai struktur yang lengkap. Terdapat halaman hak cipta, senarai kandungan, glosari atau daftar kata dan halaman bibliografi. Penulisan buku ini juga menggunakan kata yang mudah untuk difahami, menggunakan perkataan yang lazimnya digunakan dalam bidang pendidikan. Ilustrasi di kulit depan buku selaras dengan tajuk buku dan mampu memberi pemahaman yang tepat terhadap isi yang diketengahkan di dalam kandungan buku.
Namun begitu, kelemahan buku ini kerana terlalu padat dengan sitasi daripada pengkaji-pengkaji lain. Penulis menggunakan penulisan sitasi bagi menyokong dan menghuraikan fakta yang ingin diketengahkan beliau. Penggunaan sitasi ini mendatangkan gangguan terhadap pembaca kerana kekeliruan yang ditimbulkan oleh nama pengkaji yang terlalu bannyak. Sebaiknya, penulis cuba menghuraikan pendapat yang ingin disentuh menggunakan ayat beliau sendiri. Sitasi boleh digunakan untuk menyokong fakta yang beliau kemukakan tapi menggunakan sitasi dalam menghuraikan pendapat menjadikan pendapat beliau sendiri tenggelam dalam sitasi yang banyak. Selain itu, penulis juga dilihat menggunakan sekecil-kecil perkaitan dalam mengaitkan kajian beliau dengan kajian-kajian lepas. Melalui buku ini, penulis juga dapat dilihat mengambil satu langkah yang berani dengan menyertakan pelbagai maklumat kajian bahkan kajian beliau sendiri dalam sebuah buku yang secara fizikalnya tidak memberikan gambaran kepada pembaca bahawa buku ini merupakan sebuah buku ilmiah. Setiap perkara yang dilakukan penulis ini sekaligus memberikan peluang kepada buku-buku ilmiah untuk dibaca oleh masyarakat dan membolehkan hasil kajian mengenai blog dan penulisan blog sampai kepada masyarakat.

Secara keseluruhannya, buku ini mempunyai banyak maklumat yang mampu membantu pembaca mengetahui lebih terperinci kesan-kesan penggunaan blog. Walaupun pandangan awal yang diberikan melalui tajuk dan kulit buku ini bukanlah mengenai buku ilmiah namun maklumat yang diperoleh melalui buku ini merupakan maklumat yang berguna lebih-lebih lagi kepada pengkaji yang ingin menjalankan kajian mengenai blog dan kesan penggunaannya. Pembacaan terhadap buku ini juga bukan sahaja memberi maklumat lengkap mengenai kesan-kesan penulisan blog malah membolehkan individu yang ingin memulakan penulisan blog belajar mengenai etika yang perlu dipatuhi dalam penulisan blog. Etika umum yang sering dipandang remeh oleh penulis-penulis blog. Kajian-kajian lepas yang disertakan oleh penulis dalam buku ini mampu menjadi rujukan kepada pengkaji lain.

Write by Mr. Sepet...
 

 

No comments:

Post a Comment