Saturday, December 19, 2015

BBM3410 - ULASAN BUKU "WACANA"

Assalamualaikum & salam sejahtera... Aku dah baca sebuah buku yang bertajuk Wacana Bahasa... Buku ney ditulis oleh pensyarah aku sendiri iaitu Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim... Dalam buku ney membincangkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan wacana... Aku telah membuat ulasan secara ringkas terhadap buku Wacana Bahasa ney... Aku harap ulasan yang aku buat ney dapat membantu para pembaca yang ingin mengetahui apa itu 'wacana'...

Tajuk: Wacana Bahasa
Penulis: Normaliza Binti Abd. Rahim
Penerbit: Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Tahun Terbit: 2014




Wacana Bahasa yang dikarang oleh Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim dan diterbitkan pada tahun 2014 oleh Penerbit UMT, Universiti Malaysia Terengganu, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu Malaysia. Buku ini merangkumi 9 bab utama iaitu Teater Kanak-kanak, Penggunaan Media Teknologi, Penulisan Papan Cerita, Pantun Melayu, Sajak Melayu, Kata Kerja dalam Cerita Binatang, Antonim Bahasa Melayu, Penerapan Nilai Sosial Melalui Lakonan Cerita dan Nilai Murni dalam Peribahasa Melayu. Buku Wacana Bahasa ini merupakan penerangan yang merincikan permulaan bagi wacana bahasa. Kesemua bab yang terdapat dalam buku ini sesuai dibaca oleh para pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga ke pelajar universiti atau pusat pengajian tinggi.
           Dalam bab 1 menceritakan tentang teater kanak-kanak. Menurut Prof. Madya Dr. Normaliza, teater kanak-kanak merupakan satu media yang melibatkan watak dari jalan cerita yang menarik perhatian penonton. Teater juga merupakan satu aktiviti yang sesuai digunakan untuk pembelajaran pelajar sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Menurutnya lagi, teater kanak-kanak merupakan satu medium yang membina keyakinan diri. Teater yang menarik biasanya memiliki watak baik dan watak jahat. Walaupun kebanyakan penonton akan lebih menyukai watak baik tetapi ada juga dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa watak baik itu sebenarnya merupakan penyebab kepada sesebuah teater itu menjadi lebih menarik.
        Penulis juga telah menjalankan satu kajian terhadap sekumpulan pelajar yang diberikan tugasan supaya menganjurkan satu persembahan teater fantasi selama 45 minit yang dipersembahkan kepada 80 orang anak yatim. Anak-anak yatim ini dikatakan sering berdiam diri dan sering berasa siri mereka memiliki kekurangan. Namun begitu, persembahan teater telah Berjaya mengubah sedikit sebanyak sikap anak-anak yatim tersebut. Anak-anak yatim ini dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil dan perlu berbincang mengenai teater yang dipersembahkan. Ternyata mereka dapat berkomunikasi dengan baik dan mereka turut mengemukan pendapat masing-masing. Mereka bukan sahaja boleh menerima kritikan, malah mereka juga memberi kritikan terhadap persembahan teater yang dimainkan. Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa teater kanak-kanak merupakan salah satu cara untuk menimbulkan komunikasi antara satu sama lain terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
        Dalam bab 2, penggunaan media teknologi yang dimaksudkan oleh Dr. Normaliza ialah perkongsian klip-klip video di laman social pada masa ini. Perkara ini berlaku kerana terdapat tindak balas daripada masyarakat terhadap apa-apa sahaja yang telah dimuat naik sehingga meninggalkan kesan positif serta tanpa disedari, sesiapa yang melihat klip-klip video itu akan meninggalkan komen dan jumlah ‘like’ semakin bertambah. Hal ini menunjukkan bahawa setiap apa-apa sahaja tindak balas yang diberikan oleh sesiapa yang menonton video tersebut merupakan satu komunikasi yang baik. Dalam kajian penulis mengenai aktiviti membuat klip video yang dilakukan oleh pelajar yang telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang kecil untuk membuat satu klip video iaitu one shot video. Penulis mendapati kajian yang dilaksanakan menunjukkan bahawa pelajar dapat bekerjasama dalam membuat perancangan untuk memilih tema, lokasi penggambaran, pembahagian watak dan lain-lain. Ternyata pelajar lebih yakin untuk memberikan idea dan mereka juga dapat belajar menerima pendapat orang lain serta menerima idea yang kreatif dalam menghasilkan klip video yang menari.
Seterusnya bab 3 iaitu bab yang membincangkan penulisan papan cerita yang digunakan oleh penulis. Dalam bab ini, penulis membincangkan mengenai papan cerita pantun yang merupakan satu genre kesusasteraan Melayu Lama. Kajian yang dilaksanakan melibatkan para pelajar yang telah dibahagikan kepada beberpa kumpulan dan mereka juga dikehendaki menyediakan papan cerita dalam bentuk pantun serta menyebarkan pantun tersebut dalam bentuk media. Dalam situasi ini, pelajar telah memikirkan tema papan cerita terlebih dahulu dan kemudiannya mereka mencipta isi-isi pantun untuk papan cerita. Penulis mendapati bahawa pelajar lebih mahir dalam memulakan sesuatu perancangan serta bijak memilih untuk menyatakan papan cerita mereka di web atau blog. Keadaan ini menunjukkan bahawa pelajar bukan sahaja berkomunikasi antara satu sama lain, malah mereka turut mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang multimedia dan sewajarnya pantun yang merupakan karya tradisi Melayu mendapat tempat dalam masyarakat.
Pantun Melayu dalam buku Wacana Bahasa pula menerangkan tentang pentingnya mengekalkan tradisi Melayu dan menikmati keindahan setiap rangkap dalam sesebuah pantun. Pantun yang terdiri daripada beberapa jenis seperti pantun nasihat, pantun kanak-kanak, pantun kasih saying dan lain-lain. pantun bukan sahaja perlu digunakan oleh generasi yang berketurunan Melayu semata-mata, malah ia juga perlu diperkenalkan kepada masyarakat di luar negara supaya mereka dapat menikmati keunikan pantun Tradisi Melayu. Kajian yang dilakukan ke atas pelajar Korea dalam membina pantun Melayu sangat membantu untuk berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang indah.pantun juga dikatakan terdiri daripada beberapa jenis dan pantun dua dan empat kerat yang selalu digunakan oleh masyarakat. Pantun dua kerat biasanya mempunyai satu pembayang dan satu maksud, manakala pantun empat kerat mempunyai dua pembayang dan dua maksud. Perkataan yang digunakan dalam pantun biasanya kata-kata yang indah, ringkas dan mudah difahami.
 Bab lain dalam Wacana Bahasa ialah Sajak Melayu. Sajak Melayu merupakan salah satu komponen sastera yang ditulis bagi meluahkan perasaan terhadap alam, keindahan, percintaan serta nilai estetika yang lain. Melalui sajak, pelajar bukan sahaja dapat belajar untuk memahami maksud tersirat dan tersurat, malah pelajar juga dapat mengetahui cara-cara untuk mencipta sajak. Misalnya, dalam kajian yang dilakukan terhadap pelajar Korea oleh Dr. Normaliza membuktikan bahawa pelajar dapat bekerjasama dalam memahami maksud sajak yang ditulis oleh A. Samad Said. Sehubungan dengan itu, puisi moden ini dapat diketengahkan dalam jiwa masyarakat dalam mahupun luar negara. Oleh itu, karya puisi sajak seperti ini dapat diangkat tinggi dan lebih dihargai oleh masyarakat.
Kata kerja dalam cerita binatang pula sebenarnya difokuskan kepada golongan pelajar sindrom Asperger. Golongan ini merupakan golongan yang istimewa kerana dikatakan lain dari manusia biasa yang normal dan mereka ini lebih menyukai cerita-cerita sosial walaupun cerita tersebut diceritakan secara berulang kali. Berdasarkan kajian yang dijalankan jelas membuktikan bahawa pelajar yang mempunyai sindrom Asperger ini dapat berbincang dalam kumpulan dan mampu berkomunikasi antara satu sama lain. Golongan ini ternyata lebih berminat bercerita setelah mereka diminta untuk menceritakan semula cerita yang telah diperdengarkan kepada mereka. Mereka juga berjaya menceritakan semula cerita yang telah disampaikan walaupun tidak sesempurna cerita asal. Dengan ini, masalah golongan ini yang suka berdiam diri dapat diatasi secara tidak langsung.
Antonim bahasa Melayu yang ditulis dalam buku Wacana Bahasa sebenarnya membincangkan bahasa Melayu yang sememangnya merupakan bahasa yang penting di persada dunia memandangkan bahasa ini adalah bahasa rasmi di beberapa buah negara seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Oleh itu, kajian yang dilakukan terhadap pelajar Korea yang menggunakan kata antonim dalam membina struktur ayat sememangnya membantu mereka dalam mengenal pasti sifat bagi sesuatu objek. Kesannya, mereka Berjaya menyoal dan menjawab berdasarkan perbezaan kata antonim bagi objek yang ditanyakan. Tuntasnya, pelajar asing sebenarnya memerlukan kata-kata baharu dalam mempelajari bahasa Melayu. Oleh itu, kata antonim adalah perkataan-perkataan baharu yang sesuai dan dapat dipelajari bagi mendekatkan lagi mereka dengan bahasa Melayu.
Menerusi bab yang berikutnya dalam buku Wacana Bahasa iaitu penerapan nilai sosial melalui lakonan cerita merupakan jalan penyelesaian bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang menghidapi sindrom Asperger. Golongan ini dikatakan mempunyai masalah dalam bergaul dengan pelajar normal yang lain. Oleh hal yang demikian, salah satu cara yang terbaik dalam memastikan mereka berkomunikasi ialah dengan menerapkan nilai-nilai sosial melalui lakonan cerita. Mereka bukan sahaja, dapat memberikan perhatian sepenuhnya dalam lakonan cerita yang disampakan, malah mereka turut dapat mempelajari nilai-nilai murni yang diterapkan dalam jalan cerita tersebut. Oleh itu, mereka akan lebih berkeyakinan dan secaara tidak langsung mereka akan mula berkomunikasi dalam menyatakan pendapat dan pandangan berdasarkan segala perkara yang mereka fahami.
Dalam bab akhir buku Wacana Bahasa iaitu nilai murni dalam peribahasa Melayu dapat menepis sama sekali bahawa peribahasa ini sesuai dengan golongan tua sahaja. Peribahasa merupakan wadah warisan Melayu sejak berzaman yang mempunyai nilai-nilai murni dalam maksud peribahasa itu sendiri. Berdasarkan kajian yang dijalankan dalam kalangan pelajar Korea, pengkaji iaitu penulis buku ini cuba mengaitkan peribahasa tersebut dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam kehidupan seharian mereka dan mereka mendapati banyak persamaan dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam peribahasa Melayu. Oleh itu,jelaslah bahawa peribahasa ini sebenarnya merupakan medium penyampai nilai-nilai murni dan merupakan satu kalimah yang indah dalam budaya dan keunikan bahasa Melayu itu sendiri.
Kesimpulannya, buku ini mempunyai banyak maklumat yang mampu membantu pembaca mengetahui lebih terperinci tentang wacana bahasa. Sedikit sebanyak buku ini dapat memberikan banyak manfaat kepada pembaca terutamanya para pengkaji yang hendak mengkaji tentang wacana. Mereka boleh menjadikan buku ini sebagai salah satu bahan rujukan ilmiah bagi menyempurnakan kajian tersebut. Selain itu, buku ini juga dapat menunjukkan beberapa elemen-elemen penting yang terdapat dalam bahasa Melayu bagi memperkasakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Write by Mr. Sepet...

No comments:

Post a Comment