Assalamualaikum & salam sejahtera... Aku dah baca sebuah buku yang bertajuk Wacana Bahasa... Buku ney ditulis oleh pensyarah aku sendiri iaitu Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim... Dalam buku ney membincangkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan wacana... Aku telah membuat ulasan secara ringkas terhadap buku Wacana Bahasa ney... Aku harap ulasan yang aku buat ney dapat membantu para pembaca yang ingin mengetahui apa itu 'wacana'...
Tajuk: Wacana Bahasa
Penulis: Normaliza Binti Abd. Rahim
Penerbit: Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Tahun Terbit: 2014
Wacana
Bahasa yang dikarang oleh Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim dan diterbitkan
pada tahun 2014 oleh Penerbit UMT, Universiti Malaysia Terengganu, 21030 Kuala
Terengganu, Terengganu Malaysia. Buku ini merangkumi 9 bab utama iaitu Teater
Kanak-kanak, Penggunaan Media Teknologi, Penulisan Papan Cerita, Pantun Melayu,
Sajak Melayu, Kata Kerja dalam Cerita Binatang, Antonim Bahasa Melayu,
Penerapan Nilai Sosial Melalui Lakonan Cerita dan Nilai Murni dalam Peribahasa
Melayu. Buku Wacana Bahasa ini merupakan penerangan yang merincikan permulaan bagi
wacana bahasa. Kesemua bab yang terdapat dalam buku ini sesuai dibaca oleh para
pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga ke pelajar universiti atau pusat
pengajian tinggi.
Dalam bab 1 menceritakan tentang
teater kanak-kanak. Menurut Prof. Madya Dr. Normaliza, teater kanak-kanak
merupakan satu media yang melibatkan watak dari jalan cerita yang menarik
perhatian penonton. Teater juga merupakan satu aktiviti yang sesuai digunakan
untuk pembelajaran pelajar sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Menurutnya
lagi, teater kanak-kanak merupakan satu medium yang membina keyakinan diri. Teater
yang menarik biasanya memiliki watak baik dan watak jahat. Walaupun kebanyakan
penonton akan lebih menyukai watak baik tetapi ada juga dalam kalangan mereka
yang berpendapat bahawa watak baik itu sebenarnya merupakan penyebab kepada sesebuah
teater itu menjadi lebih menarik.
Penulis juga telah menjalankan satu
kajian terhadap sekumpulan pelajar yang diberikan tugasan supaya menganjurkan
satu persembahan teater fantasi selama 45 minit yang dipersembahkan kepada 80
orang anak yatim. Anak-anak yatim ini dikatakan sering berdiam diri dan sering
berasa siri mereka memiliki kekurangan. Namun begitu, persembahan teater telah Berjaya
mengubah sedikit sebanyak sikap anak-anak yatim tersebut. Anak-anak yatim ini
dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil dan perlu berbincang mengenai teater
yang dipersembahkan. Ternyata mereka dapat berkomunikasi dengan baik dan mereka
turut mengemukan pendapat masing-masing. Mereka bukan sahaja boleh menerima
kritikan, malah mereka juga memberi kritikan terhadap persembahan teater yang
dimainkan. Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa teater kanak-kanak
merupakan salah satu cara untuk menimbulkan komunikasi antara satu sama lain
terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam bab 2, penggunaan media
teknologi yang dimaksudkan oleh Dr. Normaliza ialah perkongsian klip-klip video
di laman social pada masa ini. Perkara ini berlaku kerana terdapat tindak balas
daripada masyarakat terhadap apa-apa sahaja yang telah dimuat naik sehingga
meninggalkan kesan positif serta tanpa disedari, sesiapa yang melihat klip-klip
video itu akan meninggalkan komen dan jumlah ‘like’ semakin bertambah. Hal ini
menunjukkan bahawa setiap apa-apa sahaja tindak balas yang diberikan oleh
sesiapa yang menonton video tersebut merupakan satu komunikasi yang baik. Dalam
kajian penulis mengenai aktiviti membuat klip video yang dilakukan oleh pelajar
yang telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang kecil untuk membuat satu
klip video iaitu one shot video. Penulis mendapati kajian yang dilaksanakan
menunjukkan bahawa pelajar dapat bekerjasama dalam membuat perancangan untuk
memilih tema, lokasi penggambaran, pembahagian watak dan lain-lain. Ternyata
pelajar lebih yakin untuk memberikan idea dan mereka juga dapat belajar
menerima pendapat orang lain serta menerima idea yang kreatif dalam
menghasilkan klip video yang menari.
Seterusnya
bab 3 iaitu bab yang membincangkan penulisan papan cerita yang digunakan oleh
penulis. Dalam bab ini, penulis membincangkan mengenai papan cerita pantun yang
merupakan satu genre kesusasteraan Melayu Lama. Kajian yang dilaksanakan
melibatkan para pelajar yang telah dibahagikan kepada beberpa kumpulan dan
mereka juga dikehendaki menyediakan papan cerita dalam bentuk pantun serta
menyebarkan pantun tersebut dalam bentuk media. Dalam situasi ini, pelajar
telah memikirkan tema papan cerita terlebih dahulu dan kemudiannya mereka
mencipta isi-isi pantun untuk papan cerita. Penulis mendapati bahawa pelajar
lebih mahir dalam memulakan sesuatu perancangan serta bijak memilih untuk
menyatakan papan cerita mereka di web atau blog. Keadaan ini menunjukkan bahawa
pelajar bukan sahaja berkomunikasi antara satu sama lain, malah mereka turut
mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang multimedia dan sewajarnya pantun yang
merupakan karya tradisi Melayu mendapat tempat dalam masyarakat.
Pantun
Melayu dalam buku Wacana Bahasa pula menerangkan tentang pentingnya mengekalkan
tradisi Melayu dan menikmati keindahan setiap rangkap dalam sesebuah pantun. Pantun
yang terdiri daripada beberapa jenis seperti pantun nasihat, pantun
kanak-kanak, pantun kasih saying dan lain-lain. pantun bukan sahaja perlu
digunakan oleh generasi yang berketurunan Melayu semata-mata, malah ia juga
perlu diperkenalkan kepada masyarakat di luar negara supaya mereka dapat
menikmati keunikan pantun Tradisi Melayu. Kajian yang dilakukan ke atas pelajar
Korea dalam membina pantun Melayu sangat membantu untuk berkomunikasi dengan
menggunakan bahasa yang indah.pantun juga dikatakan terdiri daripada beberapa
jenis dan pantun dua dan empat kerat yang selalu digunakan oleh masyarakat. Pantun
dua kerat biasanya mempunyai satu pembayang dan satu maksud, manakala pantun
empat kerat mempunyai dua pembayang dan dua maksud. Perkataan yang digunakan
dalam pantun biasanya kata-kata yang indah, ringkas dan mudah difahami.
Bab lain
dalam Wacana Bahasa ialah Sajak Melayu. Sajak Melayu merupakan salah satu
komponen sastera yang ditulis bagi meluahkan perasaan terhadap alam, keindahan,
percintaan serta nilai estetika yang lain. Melalui sajak, pelajar bukan sahaja
dapat belajar untuk memahami maksud tersirat dan tersurat, malah pelajar juga
dapat mengetahui cara-cara untuk mencipta sajak. Misalnya, dalam kajian yang
dilakukan terhadap pelajar Korea oleh Dr. Normaliza membuktikan bahawa pelajar
dapat bekerjasama dalam memahami maksud sajak yang ditulis oleh A. Samad Said. Sehubungan
dengan itu, puisi moden ini dapat diketengahkan dalam jiwa masyarakat dalam
mahupun luar negara. Oleh itu, karya puisi sajak seperti ini dapat diangkat
tinggi dan lebih dihargai oleh masyarakat.
Kata
kerja dalam cerita binatang pula sebenarnya difokuskan kepada golongan pelajar
sindrom Asperger. Golongan ini merupakan golongan yang istimewa kerana
dikatakan lain dari manusia biasa yang normal dan mereka ini lebih menyukai
cerita-cerita sosial walaupun cerita tersebut diceritakan secara berulang kali.
Berdasarkan kajian yang dijalankan jelas membuktikan bahawa pelajar yang
mempunyai sindrom Asperger ini dapat berbincang dalam kumpulan dan mampu
berkomunikasi antara satu sama lain. Golongan ini ternyata lebih berminat bercerita
setelah mereka diminta untuk menceritakan semula cerita yang telah
diperdengarkan kepada mereka. Mereka juga berjaya menceritakan semula cerita
yang telah disampaikan walaupun tidak sesempurna cerita asal. Dengan ini,
masalah golongan ini yang suka berdiam diri dapat diatasi secara tidak
langsung.
Antonim
bahasa Melayu yang ditulis dalam buku Wacana Bahasa sebenarnya membincangkan
bahasa Melayu yang sememangnya merupakan bahasa yang penting di persada dunia
memandangkan bahasa ini adalah bahasa rasmi di beberapa buah negara seperti
Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Oleh itu, kajian yang
dilakukan terhadap pelajar Korea yang menggunakan kata antonim dalam membina
struktur ayat sememangnya membantu mereka dalam mengenal pasti sifat bagi
sesuatu objek. Kesannya, mereka Berjaya menyoal dan menjawab berdasarkan
perbezaan kata antonim bagi objek yang ditanyakan. Tuntasnya, pelajar asing
sebenarnya memerlukan kata-kata baharu dalam mempelajari bahasa Melayu. Oleh itu,
kata antonim adalah perkataan-perkataan baharu yang sesuai dan dapat dipelajari
bagi mendekatkan lagi mereka dengan bahasa Melayu.
Menerusi
bab yang berikutnya dalam buku Wacana Bahasa iaitu penerapan nilai sosial
melalui lakonan cerita merupakan jalan penyelesaian bagi ibu bapa yang
mempunyai anak-anak yang menghidapi sindrom Asperger. Golongan ini dikatakan
mempunyai masalah dalam bergaul dengan pelajar normal yang lain. Oleh hal yang
demikian, salah satu cara yang terbaik dalam memastikan mereka berkomunikasi
ialah dengan menerapkan nilai-nilai sosial melalui lakonan cerita. Mereka bukan
sahaja, dapat memberikan perhatian sepenuhnya dalam lakonan cerita yang
disampakan, malah mereka turut dapat mempelajari nilai-nilai murni yang
diterapkan dalam jalan cerita tersebut. Oleh itu, mereka akan lebih
berkeyakinan dan secaara tidak langsung mereka akan mula berkomunikasi dalam
menyatakan pendapat dan pandangan berdasarkan segala perkara yang mereka
fahami.
Dalam bab
akhir buku Wacana Bahasa iaitu nilai murni dalam peribahasa Melayu dapat
menepis sama sekali bahawa peribahasa ini sesuai dengan golongan tua sahaja. Peribahasa
merupakan wadah warisan Melayu sejak berzaman yang mempunyai nilai-nilai murni
dalam maksud peribahasa itu sendiri. Berdasarkan kajian yang dijalankan dalam
kalangan pelajar Korea, pengkaji iaitu penulis buku ini cuba mengaitkan
peribahasa tersebut dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam kehidupan
seharian mereka dan mereka mendapati banyak persamaan dengan nilai-nilai murni
yang terdapat dalam peribahasa Melayu. Oleh itu,jelaslah bahawa peribahasa ini
sebenarnya merupakan medium penyampai nilai-nilai murni dan merupakan satu
kalimah yang indah dalam budaya dan keunikan bahasa Melayu itu sendiri.
Kesimpulannya,
buku ini mempunyai banyak maklumat yang mampu membantu pembaca mengetahui lebih
terperinci tentang wacana bahasa. Sedikit sebanyak buku ini dapat memberikan
banyak manfaat kepada pembaca terutamanya para pengkaji yang hendak mengkaji
tentang wacana. Mereka boleh menjadikan buku ini sebagai salah satu bahan
rujukan ilmiah bagi menyempurnakan kajian tersebut. Selain itu, buku ini juga
dapat menunjukkan beberapa elemen-elemen penting yang terdapat dalam bahasa
Melayu bagi memperkasakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Write by Mr. Sepet...