Saturday, December 19, 2015

BBM3410 - KETIKA DAN KALIMAT

Assalamualaikum & salam sejahtera... ney merupakan luahan hati aku sepanjang 14 minggu mengambil kursus BBM3410 Bahasa Dalam Multimedia... luahan ney dihasilkan secara ringkas kerana kalau secara penuh, tujuh hari tujuh malam pon belum tentu habis nak cerita... anda baca la yaaaa...

Ketika & Kalimat...


Pada 14 September 2015, aku telah mengambil kursus BBM3410 iaitu Bahasa Dalam Multimedia bersama dengan kawan-kawanku yang lain. Aku masuk ke kelas tersebut pada minggu kedua kuliah dimulakan iaitu lewat seminggu dari tarikh permulaan kuliah. Aku memasuki kelas tersebut dengan harapan ramai la budak kelas aku daftar subjek ini tetapi rupanya aku satu kelas dengan senior. Yang peliknya, seorang pun aku tak kenal padahal senior kos major aku sendiri. Pandangan pertama aku terhadap senior adalah sangat membosankan. Aku tengok senior-senior ni dalam kelas tu diam ja tak macam budak-budak kelas aku, lebih-lebih lagi budak minor Seni Persembahan yang perangai entah apa-apa. Masuk ja ke kelas, pensyarah dah ada di hadapan iaitu Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim yang sebelum ni memang aku tak pernah kenal langsung. Aku tengok dari gaya Dr. Normaliza ni mesti seorang yang kuat beleter dan membosankan. Bayangkan la baru masuk minggu kedua dah ada tugasan. Dah la minggu pertama kumpulan aku tak masuk lagi, jadi memang krik-krik la kejap bila Dr. sebut tentang tugasan. Aku pun keluar la ke flat ikan untuk cari bahan-bahan nak buat tugasan tu. Dah la tugasan tu kena hantar pada hari tu juga, tak ka stress, dalam hati ni tuhan ja yang tahu. Kelam kabut kumpulan aku siapkan tugasan tu. Lepas siap terus hantar kat bilik Dr. Normaliza, boleh pulak tugasan tu kena reject. Hmmmm… memang berbulu la masa tu. Dalam hati “ney baru minggu kedua kot”.
            Apabila masuk minggu ketiga, Dr bagi tugasan baru pulak. Aku dah mula rasa macam sem ni memang tak ada peluang nak relaks-relaks la. Dapat pulak tugasan ambik-ambik gambar. Tapi bagus juga la sebab dapat belajar pelbagai jenis shot yang menarik. Walaupun fotografer peringkat amatur tetapi boleh la memenuhi semua jenis shot yang diberikan oleh Dr. Normaliza. Lepas tu kena pulak buat shot flat lay kasut dan quarter flat lay makanan. Ishhhhh.. mana la aku penah buat kerja-kerja yang macam tu, gambar makanan pun jarang ambik ni nak berflat lay-flat lay bagai. Namun, bak kata Dr. Normaliza “apa-apa pun redha”.  Selepas perbentangan tugasan flat lay tu, dapat pulak tugasan baru, tetapi tugasan kali ney pelik sikit sebab nak kena shooting video lepas tu upload kat youtube. Dah la aku tak pernah sekali seumur hidup buat benda-benda macam ni. Mula-mula tu terpaksa la tapi lepas dah selalu terdedah dengan hal-hal macam ni rasa seolah-olah ada satu perasaan pelik meresap dalam jiwa ini, macam dah jatuh cinta la pulak. Mula pada saat tu semangat nak shooting semakin meluap-luap.
            Dalam kelas Bahasa Dalam Multimedia ni, aku belajar banyak benda tentang elemen-elemen dalam multimedia. Banyak perkara yang aku tahu, tak tahu dan tak pernah aku ambik tahu dalam hidup ni berkaitan dengan apa yang aku belajar dalam kelas ni. Tugasan-tugasan yang diberikan dapat memupuk semangat kerjasama, persahabatan dan mengajar cara untuk berhubung dengan orang yang lebih tua (senior). Aku nak kongsikan pengalaman tugasan yang terakhir iaitu montaj. Tak ku sangka, tak ku duga semasa aku selesai buat montaj bergambar, aku cuba mainkan semula montaj tersebut. Tiba-tiba, satu perasaan yang pelik timbul. Montaj aku berkaitan dengan kenangan bersama sahabat, jadi apabila aku lihat semula montaj tersebut satu perasaan sedih mula menyelubungi diri. Aku merasakan bahawa semakin hampir untuk berpisah denga sahabat-sahabat yang aku sayangi sedangkan kami masih ada setahun masa untuk bersama. Satu perasaan sebak muncul semasa video montaj tersebut dimainkan. Betul la kata orang, sekiranya kita ikhlas terhadap sesuatu perkara tu, kita akan rasa sedih apabila kehilangannya. Terima kasih SAHABAT.
            Akhir kata, terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah BBM3410 iaitu Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim kerana telah mengajar kami erti kehidupan melalui tugasan-tugasan yang diberikan. Tugasan-tugasan ini bukan sahaja dapat menambahkan ilmu tetapi dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kami. Hidup kita di dunia ini saling lengkap-melengkapi, jadi sama-sama lah kita menjaga hubungan antara kita agar tidak berlaku sebarang persengketaan yang dapat merobohkan binaan persahabatan selama 14 minggu dalam kuliah bagi kursus BBM3410 Bahasa Dalam multimedia.

Ikhlas daripada Mr. Sepet...

BBM3410 - ULASAN BUKU "WACANA"

Assalamualaikum & salam sejahtera... Aku dah baca sebuah buku yang bertajuk Wacana Bahasa... Buku ney ditulis oleh pensyarah aku sendiri iaitu Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim... Dalam buku ney membincangkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan wacana... Aku telah membuat ulasan secara ringkas terhadap buku Wacana Bahasa ney... Aku harap ulasan yang aku buat ney dapat membantu para pembaca yang ingin mengetahui apa itu 'wacana'...

Tajuk: Wacana Bahasa
Penulis: Normaliza Binti Abd. Rahim
Penerbit: Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Tahun Terbit: 2014




Wacana Bahasa yang dikarang oleh Prof. Madya Dr. Normaliza Binti Abd. Rahim dan diterbitkan pada tahun 2014 oleh Penerbit UMT, Universiti Malaysia Terengganu, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu Malaysia. Buku ini merangkumi 9 bab utama iaitu Teater Kanak-kanak, Penggunaan Media Teknologi, Penulisan Papan Cerita, Pantun Melayu, Sajak Melayu, Kata Kerja dalam Cerita Binatang, Antonim Bahasa Melayu, Penerapan Nilai Sosial Melalui Lakonan Cerita dan Nilai Murni dalam Peribahasa Melayu. Buku Wacana Bahasa ini merupakan penerangan yang merincikan permulaan bagi wacana bahasa. Kesemua bab yang terdapat dalam buku ini sesuai dibaca oleh para pelajar dari peringkat sekolah menengah hingga ke pelajar universiti atau pusat pengajian tinggi.
           Dalam bab 1 menceritakan tentang teater kanak-kanak. Menurut Prof. Madya Dr. Normaliza, teater kanak-kanak merupakan satu media yang melibatkan watak dari jalan cerita yang menarik perhatian penonton. Teater juga merupakan satu aktiviti yang sesuai digunakan untuk pembelajaran pelajar sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Menurutnya lagi, teater kanak-kanak merupakan satu medium yang membina keyakinan diri. Teater yang menarik biasanya memiliki watak baik dan watak jahat. Walaupun kebanyakan penonton akan lebih menyukai watak baik tetapi ada juga dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa watak baik itu sebenarnya merupakan penyebab kepada sesebuah teater itu menjadi lebih menarik.
        Penulis juga telah menjalankan satu kajian terhadap sekumpulan pelajar yang diberikan tugasan supaya menganjurkan satu persembahan teater fantasi selama 45 minit yang dipersembahkan kepada 80 orang anak yatim. Anak-anak yatim ini dikatakan sering berdiam diri dan sering berasa siri mereka memiliki kekurangan. Namun begitu, persembahan teater telah Berjaya mengubah sedikit sebanyak sikap anak-anak yatim tersebut. Anak-anak yatim ini dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil dan perlu berbincang mengenai teater yang dipersembahkan. Ternyata mereka dapat berkomunikasi dengan baik dan mereka turut mengemukan pendapat masing-masing. Mereka bukan sahaja boleh menerima kritikan, malah mereka juga memberi kritikan terhadap persembahan teater yang dimainkan. Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa teater kanak-kanak merupakan salah satu cara untuk menimbulkan komunikasi antara satu sama lain terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
        Dalam bab 2, penggunaan media teknologi yang dimaksudkan oleh Dr. Normaliza ialah perkongsian klip-klip video di laman social pada masa ini. Perkara ini berlaku kerana terdapat tindak balas daripada masyarakat terhadap apa-apa sahaja yang telah dimuat naik sehingga meninggalkan kesan positif serta tanpa disedari, sesiapa yang melihat klip-klip video itu akan meninggalkan komen dan jumlah ‘like’ semakin bertambah. Hal ini menunjukkan bahawa setiap apa-apa sahaja tindak balas yang diberikan oleh sesiapa yang menonton video tersebut merupakan satu komunikasi yang baik. Dalam kajian penulis mengenai aktiviti membuat klip video yang dilakukan oleh pelajar yang telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang kecil untuk membuat satu klip video iaitu one shot video. Penulis mendapati kajian yang dilaksanakan menunjukkan bahawa pelajar dapat bekerjasama dalam membuat perancangan untuk memilih tema, lokasi penggambaran, pembahagian watak dan lain-lain. Ternyata pelajar lebih yakin untuk memberikan idea dan mereka juga dapat belajar menerima pendapat orang lain serta menerima idea yang kreatif dalam menghasilkan klip video yang menari.
Seterusnya bab 3 iaitu bab yang membincangkan penulisan papan cerita yang digunakan oleh penulis. Dalam bab ini, penulis membincangkan mengenai papan cerita pantun yang merupakan satu genre kesusasteraan Melayu Lama. Kajian yang dilaksanakan melibatkan para pelajar yang telah dibahagikan kepada beberpa kumpulan dan mereka juga dikehendaki menyediakan papan cerita dalam bentuk pantun serta menyebarkan pantun tersebut dalam bentuk media. Dalam situasi ini, pelajar telah memikirkan tema papan cerita terlebih dahulu dan kemudiannya mereka mencipta isi-isi pantun untuk papan cerita. Penulis mendapati bahawa pelajar lebih mahir dalam memulakan sesuatu perancangan serta bijak memilih untuk menyatakan papan cerita mereka di web atau blog. Keadaan ini menunjukkan bahawa pelajar bukan sahaja berkomunikasi antara satu sama lain, malah mereka turut mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang multimedia dan sewajarnya pantun yang merupakan karya tradisi Melayu mendapat tempat dalam masyarakat.
Pantun Melayu dalam buku Wacana Bahasa pula menerangkan tentang pentingnya mengekalkan tradisi Melayu dan menikmati keindahan setiap rangkap dalam sesebuah pantun. Pantun yang terdiri daripada beberapa jenis seperti pantun nasihat, pantun kanak-kanak, pantun kasih saying dan lain-lain. pantun bukan sahaja perlu digunakan oleh generasi yang berketurunan Melayu semata-mata, malah ia juga perlu diperkenalkan kepada masyarakat di luar negara supaya mereka dapat menikmati keunikan pantun Tradisi Melayu. Kajian yang dilakukan ke atas pelajar Korea dalam membina pantun Melayu sangat membantu untuk berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang indah.pantun juga dikatakan terdiri daripada beberapa jenis dan pantun dua dan empat kerat yang selalu digunakan oleh masyarakat. Pantun dua kerat biasanya mempunyai satu pembayang dan satu maksud, manakala pantun empat kerat mempunyai dua pembayang dan dua maksud. Perkataan yang digunakan dalam pantun biasanya kata-kata yang indah, ringkas dan mudah difahami.
 Bab lain dalam Wacana Bahasa ialah Sajak Melayu. Sajak Melayu merupakan salah satu komponen sastera yang ditulis bagi meluahkan perasaan terhadap alam, keindahan, percintaan serta nilai estetika yang lain. Melalui sajak, pelajar bukan sahaja dapat belajar untuk memahami maksud tersirat dan tersurat, malah pelajar juga dapat mengetahui cara-cara untuk mencipta sajak. Misalnya, dalam kajian yang dilakukan terhadap pelajar Korea oleh Dr. Normaliza membuktikan bahawa pelajar dapat bekerjasama dalam memahami maksud sajak yang ditulis oleh A. Samad Said. Sehubungan dengan itu, puisi moden ini dapat diketengahkan dalam jiwa masyarakat dalam mahupun luar negara. Oleh itu, karya puisi sajak seperti ini dapat diangkat tinggi dan lebih dihargai oleh masyarakat.
Kata kerja dalam cerita binatang pula sebenarnya difokuskan kepada golongan pelajar sindrom Asperger. Golongan ini merupakan golongan yang istimewa kerana dikatakan lain dari manusia biasa yang normal dan mereka ini lebih menyukai cerita-cerita sosial walaupun cerita tersebut diceritakan secara berulang kali. Berdasarkan kajian yang dijalankan jelas membuktikan bahawa pelajar yang mempunyai sindrom Asperger ini dapat berbincang dalam kumpulan dan mampu berkomunikasi antara satu sama lain. Golongan ini ternyata lebih berminat bercerita setelah mereka diminta untuk menceritakan semula cerita yang telah diperdengarkan kepada mereka. Mereka juga berjaya menceritakan semula cerita yang telah disampaikan walaupun tidak sesempurna cerita asal. Dengan ini, masalah golongan ini yang suka berdiam diri dapat diatasi secara tidak langsung.
Antonim bahasa Melayu yang ditulis dalam buku Wacana Bahasa sebenarnya membincangkan bahasa Melayu yang sememangnya merupakan bahasa yang penting di persada dunia memandangkan bahasa ini adalah bahasa rasmi di beberapa buah negara seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Oleh itu, kajian yang dilakukan terhadap pelajar Korea yang menggunakan kata antonim dalam membina struktur ayat sememangnya membantu mereka dalam mengenal pasti sifat bagi sesuatu objek. Kesannya, mereka Berjaya menyoal dan menjawab berdasarkan perbezaan kata antonim bagi objek yang ditanyakan. Tuntasnya, pelajar asing sebenarnya memerlukan kata-kata baharu dalam mempelajari bahasa Melayu. Oleh itu, kata antonim adalah perkataan-perkataan baharu yang sesuai dan dapat dipelajari bagi mendekatkan lagi mereka dengan bahasa Melayu.
Menerusi bab yang berikutnya dalam buku Wacana Bahasa iaitu penerapan nilai sosial melalui lakonan cerita merupakan jalan penyelesaian bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang menghidapi sindrom Asperger. Golongan ini dikatakan mempunyai masalah dalam bergaul dengan pelajar normal yang lain. Oleh hal yang demikian, salah satu cara yang terbaik dalam memastikan mereka berkomunikasi ialah dengan menerapkan nilai-nilai sosial melalui lakonan cerita. Mereka bukan sahaja, dapat memberikan perhatian sepenuhnya dalam lakonan cerita yang disampakan, malah mereka turut dapat mempelajari nilai-nilai murni yang diterapkan dalam jalan cerita tersebut. Oleh itu, mereka akan lebih berkeyakinan dan secaara tidak langsung mereka akan mula berkomunikasi dalam menyatakan pendapat dan pandangan berdasarkan segala perkara yang mereka fahami.
Dalam bab akhir buku Wacana Bahasa iaitu nilai murni dalam peribahasa Melayu dapat menepis sama sekali bahawa peribahasa ini sesuai dengan golongan tua sahaja. Peribahasa merupakan wadah warisan Melayu sejak berzaman yang mempunyai nilai-nilai murni dalam maksud peribahasa itu sendiri. Berdasarkan kajian yang dijalankan dalam kalangan pelajar Korea, pengkaji iaitu penulis buku ini cuba mengaitkan peribahasa tersebut dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam kehidupan seharian mereka dan mereka mendapati banyak persamaan dengan nilai-nilai murni yang terdapat dalam peribahasa Melayu. Oleh itu,jelaslah bahawa peribahasa ini sebenarnya merupakan medium penyampai nilai-nilai murni dan merupakan satu kalimah yang indah dalam budaya dan keunikan bahasa Melayu itu sendiri.
Kesimpulannya, buku ini mempunyai banyak maklumat yang mampu membantu pembaca mengetahui lebih terperinci tentang wacana bahasa. Sedikit sebanyak buku ini dapat memberikan banyak manfaat kepada pembaca terutamanya para pengkaji yang hendak mengkaji tentang wacana. Mereka boleh menjadikan buku ini sebagai salah satu bahan rujukan ilmiah bagi menyempurnakan kajian tersebut. Selain itu, buku ini juga dapat menunjukkan beberapa elemen-elemen penting yang terdapat dalam bahasa Melayu bagi memperkasakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Write by Mr. Sepet...

BBM3410 - ULASAN BUKU "LEARNING THROUGH BLOG WRITTING (EMBRACING THE TECHNOLOGY)"


Assalamualaikum & salam sejahtera... Aku dah selesai buat satu ulasan buku yang bertajuk "Learning Through Blog Writting"... Aku ambil masa lama jugak la nak siapkan ulasan ney... Memandangkan buku ney diterbitkan dalam bahasa Inggeris, jadi sedikit masalah timbul kerana ia perlu ditukarkan kepada bahasa Melayu... Semoga anda dapat memahami ulasan yang aku tulis ney...

Tajuk: Learning Through Blog Writting (Embracing the Technology)
Penulis: Normaliza Abd. Rahim
Penerbit: Universiti Malaysia Terenggani (UMT)






‘Learning through blog writing embracing the technology’ merupakan karya Normaliza Abd Rahim, seorang pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM. Buku ini memberi maklumat mengenai penulisan blog serta perkara yang mampu dicapai melalui penulisan blog kepada pembaca. Dalam buku ini, penulis menyatakan kedua-dua kebaikan dan keburukan yang mampu dibawa oleh penulisan blog, namun penulis mengupas lebih mengenai kebaikan penggunaan blog kepada pengguna. Penulis juga memberikan penekanan bahawa penggunaan blog mampu menjadi sebagai medium pembelajaran yang berkesan.
         Penulis membahagikan kandungan buku ini kepada 8 bahagian bermula dari pengenalan terhadap blog dan penulisannya diikuti dengan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan blog. Dalam bahagian pertama, penulis memberikan huraian ringkas mengenai blog menurut pandangan beliau. Beliau menyatakan bahawa penulisan blog merupakan medium internet yang tidak terbatas dan percuma. Hal ini menyebabkan penggunaan blog mampu mendatangkan kedua-dua kesan negatif dan positif. Bagi membendung kesan negatif dalam penulisan blog ini pula, individu yang ingin melibatkan diri dalam penulisan blog perlu mematuhi etika-etika umum dalam penulisan blog. Seterusnya beliau sertakan juga pendapat pengkaji mengenai blog. Salah satu penyataan yang disertakan adalah penyataan oleh Nowson (2006) yang menyatakan bahawa blog sebagai satu laman sesawang yang sering dikemas kini menggunakan susunan penceritaan yang tidak megikut kronologi, menggunakan bahasa yang tidak formal serta menggunakan bahasa yang mudah dan tidak terlalu terikat. Turut disertakan adalah penyataan Shahsavar & Tan (2011) yang menyatakan bahawa penggunaan blog dalam kalangan pelajar mewujudkan kerjasama dan membolehkan pelajar bekerja secara interaktif. Blog turut dijelaskan sebagai satu ruangan internet yang membolehkan individu menulis perkara yang diinginkan termasuklah penulisan peribadi yang melibatkan kehidupan peribadi individu, pendidikan mahupun perniagaan. Penulis turut menyentuh mengenai panduan penulisan blog dan pembahagian jenis-jenis blog berdasarkan tujuan penulisannya. Panduan penulisan blog yang diberikan penulis merupakan panduan menurut Rieck (2014) manakala pembahagian jenis-jenis blog pula adalah menurut Darren (2014) dan Rotolo (2012).
Bahagian kandungan buku yang berikutnya, penulis berkongsi mengenai kajian-kajian yang pernah dijalankan yang berkait dengan blog dan penulisan blog. Antara kajian yang disertakan oleh penulis dalam buku ini adalah kajian oleh Richardson (2009) yang menyatakan bahawa pembelajaran bahasa baru oleh individu menjadi lebih menarik dengan penggunaan teknologi, oleh itu penggunaan teknologi wajar dipertimbangkan sebagai satu medium pembelajaran. Seterusnya, penulis juga menyentuh kajian oleh Zaini Amir et.al. (2012)  yang telah menjalankan kajian untuk melihat perbezaan yang wujud dalam kalangan penulisan blog bahasa Melayu oleh remaja lelaki dan remaja perempuan. Kajian yang pernah dijalankan ini bukan sahaja untuk melihat fungsi dan kesan penggunaan blog, namun secara spesifiknya, kajian lepas yang diketengahkan oleh penulis adalah kajian lepas yang mampu menyokong pendapat beliau mengenai pembelajaran melalui penulisan blog merupakan teknik pembelajaran yang berkesan. Terdapat beberapa kajian lain yang disertakan oleh penulis dalam buku ‘Learning through blog writing embracing the technology’.
Seterusnya, kajian-kajian lepas yang dijelaskan oleh penulis membawa kepada isu yang dibincangkan dalam bahagian buku yang berikutnya. Penulis membincangkan mengenai kajian yang telah dijalankan oleh penulis sendiri. Bahagian-bahagian berikutnya membincangkan mengenai dua kajian yang dijalankan oleh pengkaji serta kupasan lanjut mengenai hasil kajian yang diperoleh oleh penulis. Kedua-dua kajian yang penulis jalankan mengambil tempat di Hankuk University of Foreign Studies, Korea. Kajian pertama dijalankan terhadap 60 orang responden terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan yang pernah mengambil kelas bahasa Melayu. Kajian pertama adalah bagi melihat perkara yang mampu dicapai oleh pelajar yang telah menulis blog. Kajian yang kedua pula dijalankan terhadap sepuluh orang pelajar selama sepuluh minggu. Dalam tempoh sepuluh minggu tersebut, setiap pelajar diminta untuk mengemas kini blog masing-masing sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Hasilnya, sebanyak 330 penulisan blog dikumpul dan dijadikan data kajian. Kajian kedua kemudiannya dibincangkan dengan lebih mendalam dalam bahagian bab yang sama. Hasil daripada kedua-dua kajian dibincangkan dalam bahagian kandungan yang berbeza dan dikupas dengan lebih terperinci. Hasil kajian oleh penulis yang beliau sertakan menyokong dan  mengukuhkan pendapat beliau mengenai penggunaan blog mampu menjadi medium pembelajaran yang berkesan jika digunakan semaksima mungkin.
Panduan ringkas mengenai permulaan penulisan blog dibincangkan oleh penulis dengan menyertakan ilustrasi laman yang akan dibuka setelah mengikut langkah-langkah yang diberikan. Panduan ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu panduan membuka akaun google, membuka akaun blog menggunakan blogspot dan membuka akaun menggunakan wordpress. Dengan adanya ilustrasi dalam bahagian panduan ini, pembaca mampu memahami setiap langkah yang diberikan dengan lebih mudah. Penggunaan ilustrasi turut membolehkan pembaca mengaplikasikan panduan yang diberikan dengan lebih mudah. Setelah memberikan pendedahan mengenai pembukaan blog dan penulisan blog, penulis turut menyatakan etika-etika umum yang perlu dipatuhi dalam penulisan blog. Hal ini bagi mengelakkan penggunaan blog membawa kepada kesan yang negatif seperti yang diterangkan sendiri oleh penulis di bahagian pertama buku. Penggunaan blog jika digunakan semaksima mungkin mampu mendatangkan kesan yang baik, namun dengan syarat etika penulisan blog dipatuhi.
Dari segi struktur  penulisan buku, buku ini mempunyai struktur yang lengkap. Terdapat halaman hak cipta, senarai kandungan, glosari atau daftar kata dan halaman bibliografi. Penulisan buku ini juga menggunakan kata yang mudah untuk difahami, menggunakan perkataan yang lazimnya digunakan dalam bidang pendidikan. Ilustrasi di kulit depan buku selaras dengan tajuk buku dan mampu memberi pemahaman yang tepat terhadap isi yang diketengahkan di dalam kandungan buku.
Namun begitu, kelemahan buku ini kerana terlalu padat dengan sitasi daripada pengkaji-pengkaji lain. Penulis menggunakan penulisan sitasi bagi menyokong dan menghuraikan fakta yang ingin diketengahkan beliau. Penggunaan sitasi ini mendatangkan gangguan terhadap pembaca kerana kekeliruan yang ditimbulkan oleh nama pengkaji yang terlalu bannyak. Sebaiknya, penulis cuba menghuraikan pendapat yang ingin disentuh menggunakan ayat beliau sendiri. Sitasi boleh digunakan untuk menyokong fakta yang beliau kemukakan tapi menggunakan sitasi dalam menghuraikan pendapat menjadikan pendapat beliau sendiri tenggelam dalam sitasi yang banyak. Selain itu, penulis juga dilihat menggunakan sekecil-kecil perkaitan dalam mengaitkan kajian beliau dengan kajian-kajian lepas. Melalui buku ini, penulis juga dapat dilihat mengambil satu langkah yang berani dengan menyertakan pelbagai maklumat kajian bahkan kajian beliau sendiri dalam sebuah buku yang secara fizikalnya tidak memberikan gambaran kepada pembaca bahawa buku ini merupakan sebuah buku ilmiah. Setiap perkara yang dilakukan penulis ini sekaligus memberikan peluang kepada buku-buku ilmiah untuk dibaca oleh masyarakat dan membolehkan hasil kajian mengenai blog dan penulisan blog sampai kepada masyarakat.

Secara keseluruhannya, buku ini mempunyai banyak maklumat yang mampu membantu pembaca mengetahui lebih terperinci kesan-kesan penggunaan blog. Walaupun pandangan awal yang diberikan melalui tajuk dan kulit buku ini bukanlah mengenai buku ilmiah namun maklumat yang diperoleh melalui buku ini merupakan maklumat yang berguna lebih-lebih lagi kepada pengkaji yang ingin menjalankan kajian mengenai blog dan kesan penggunaannya. Pembacaan terhadap buku ini juga bukan sahaja memberi maklumat lengkap mengenai kesan-kesan penulisan blog malah membolehkan individu yang ingin memulakan penulisan blog belajar mengenai etika yang perlu dipatuhi dalam penulisan blog. Etika umum yang sering dipandang remeh oleh penulis-penulis blog. Kajian-kajian lepas yang disertakan oleh penulis dalam buku ini mampu menjadi rujukan kepada pengkaji lain.

Write by Mr. Sepet...